SARIKEI, 17 Mac : Pembukaan bazar malam Kampung Seberang, dekat sini sejak dua minggu lalu telah memberi peluang kepada 100 peniaga tempatan untuk mencari rezeki di situ.
Pengerusi bazar berkenaan, Allif Omar Yunus berkata, walaupun baharu sahaja beroperasi, namun tapak downtown berkenaan meriah kerana mendapat sambutan yang luar biasa.
Katanya, bazar berkenaan bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk setempat malahan turut dikunjungi oleh pengunjung yang datang dari luar Sarikei.
“Inisiatif ini bukan sahaja untuk menceriakan suasana di Kampung Seberang tetapi juga dapat menjana ekonomi khususnya kepada penjaja kecil dan golongan muda yang berminat dalam bidang perniagaan.
“Bazar ini turut menawarkan kepelbagaian barangan kepada pengunjung, bukan sekadar menjual makanan dan minuman,” katanya kepada TVS.
Menurut Allif, kedudukan tapak bazar berkenaan yang strategik kerana terletak di kawasan lapang berhampiran Kompleks Integrasi Kampung Seberang turut memudahkan pengunjung.
“Oleh itu, kami dapat menyediakan ruang niaga yang lebih selesa kepada peniaga untuk mereka beroperasi pada setiap Khamis hingga Sabtu,”katanya.
Pada masa sama, Allif berkata, pihaknya sangat menekankan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kalangan peniaga dan pengunjung di situ.
“Saya berharap agar bazar ini terus menjadi tumpuan dan menghidupkan suasana malam di Sarikei yang sebelum ini suram tanpa sebarang aktiviti,” katanya. -TVS