BATU NIAH, 16 Mac: Seorang wanita berusia 43 tahun hilang selepas diserang oleh seekor buaya ketika sedang memancing di Sungai Telong Suai, dekat sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Pegawai Bomba Tinggi II, Rary Binjie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 12.10 tengah hari tadi.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, kejadian berlaku ketika mangsa yang dikenali sebagai Demit Chagai bersama ibunya berada di tepi sungai itu.
“Reptilia berkenaan dikatakan muncul secara tiba-tiba dan terus menyambar mangsa dalam sekelip mata.
Mangsa kemudian ditarik ke dalam sungai dan tidak kelihatan lagi,” katanya ketika dihubungi TVS.
Rary berkata, pihaknya kini sedang dalam perjalanan ke lokasi dan turut membawa sebuah bot untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR). – TVS