KUCHING, 15 Mac: Ibu dan bapa kepada Eric Chang Wei Jie yang dilaporkan hilang sejak sembilan hari lalu hadir di Jeti Muara Tebas dengan beberapa biji buah oren serta beberapa peralatan sebagai ritual keagamaan, mengharapkan jasad Eric dijumpai dengan segera.
Dynasty Chang Ka Hui, 25, yang sedang hamil 7 bulan bersama suaminya tiba sekitar jam 4.47 minit petang sambil turut ditemani tiga orang ahli keluarga.
Dynasty dilihat berada dalam keadaan yang amat sedih ketika beredar sekitar jam 5 petang.
Terdahulu, operasi pencarian yang ditangguhkan seketika ekoran hujan lebat pada sebelah pagi disambung semula sekitar jam 2 petang dengan bantuan beberapa unit dron.
Memasuki hari ketiga, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Eric masih gagal menemui apa-apa petunjuk meskipun liputan pencarian diluaskan kepada 5 batu nautika ke arah Tanjung Po.
Dalam pada itu, menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, kawasan perairan Sungai Muara Tebas yang luas dan faktor cuaca tidak menentu ketika ini menjadi cabaran utama kepada pihak berkuasa dalam operasi pencarian.
Operasi pencarian ditangguhkan sekitar jam 6 petang dan akan disambung semula pada pukul 8 pagi esok (16 Mac). – TVS