Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Sarawak dan Swinburne University of Technology meterai MoU

KUCHING, 15 Mac: Kerajaan Sarawak hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Swinburne University of Technology di Melbourne untuk meneroka ekonomi hidrogen.

Majlis pemeteraian MoU itu di Hawthorn, Melbourne itu disaksikan Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi Sarawak, MoU itu ditandatangani Naib Canselor dan Presiden Swinburne University Prof Pascale Quester serta Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak Datuk Dr Muhammad Abdullah Zaidel.

Kerajaan Sarawak dan Victorian Hydrogen Hub (VH2) yang diterajui oleh Swinburne, dibiayai oleh Kerajaan Negeri Victoria Australia berhasrat untuk bekerjasama berkaitan ekonomi hidrogen dan pembangunannya di Sarawak, termasuk menghubungkan kedua-dua pihak secara lebih meluas dalam rantaian bekalan hidrogen global dan ekosistem.

Dalam kenyataan yang sama, Dr Sim berkata wawasan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah untuk Sarawak menjadi hab pengeluar hidrogen bersih utama di rantau ini dalam usahanya membangunkan ekonomi dipacu hidrogen untuk Sarawak.

“Jaminan bekalan tenaga dan perubahan iklim mewakili dua kebimbangan utama mengenai masa depan sektor tenaga yang menimbulkan cabaran mencari cara terbaik untuk mengekang pelepasan di samping menyediakan tenaga yang diperlukan untuk mengekalkan ekonomi.

“Hidrogen menarik kerana sama ada ia dibakar untuk menghasilkan haba atau bertindak balas dengan udara dalam sel bahan api untuk menghasilkan elektrik, satu-satunya hasil ialah air,” tambahnya.

Melalui MoU ini, kedua-dua pihak berharap dapat menangani cabaran penyelidikan dan modal insan serta menyokong amalan pembuatan mampan, serta menyokong keupayaan untuk menyimpan tenaga bersih daripada sumber boleh diperbaharui dan berusaha untuk mencipta masa depan yang mampan untuk semua.

Kerjasama itu juga antara lain akan memberi tumpuan kepada penyelidikan dan inovasi selain pembangunan modal insan dalam ekonomi hidrogen. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan