Kredit foto: Dato’ Sri Fadillah Yusof
KUCHING, 15 Mac: Tiga beradik malang yang kehilangan ibu bapanya akibat terkena renjatan arus elektrik pada Khamis minggu lalu akan dihantar pulang ke Kuching pada Rabu.
Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof ketika menziarahi tiga beradik tersebut memaklumkan, mereka akan dibawa pulang oleh abang kepada mendiang Ronwina, Robert anak Adi, 43, dan isterinya Kelly anak Jhon, 36.
“Segala urusan penerbangan pulang tiga beradik termasuk warisnya, penginapan transit serta urusan pengkebumian kedua-dua mangsa telah dibiayai sepenuhnya oleh Sarawak Volunteers dengan bantuan Rumah Sarawak di Kuala Lumpur,” ujar Fadillah dalam kenyataan yang di muat naik di Facebook rasminya hari ini.
Tiga beradik tersebut, Elisa Olivia, 10; Joseph Rayyan, 8; dan Magdalena, 2 merupakan anak kepada pasangan mendiang Damian dan Ronwina yang maut akibat terkena renjatan arus elektrik dalam bilik air di sebuah flat di Taman Puncak Tringkap, Brinchang, Cameron Highlands.
“Pegawai Rumah Sarawak dan Sarawak Volunteers telah bergegas ke Cameron Highlands sebaik sahaja menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada Khamis lepas bagi menghulurkan bantuan kepada keluarga berkenaan.
“Abang kepada mendiang Ronwina serta isterinya telah diterbangkan segera ke Kuala Lumpur selepas kejadian itu,” katanya lagi.
Beliau juga menzahirkan terima kasih kepada Pengarah Rumah Sarawak, Awang Supian Awang Daud di Kuala Lumpur yang mempermudahkan urusan keluarga tersebut.
Pada masa sama, beliau mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga pasangan mendiang Damian dan Ronwina. – TVS