KUCHING, 14 Mac : Ratapan ibu kepada kanak-kanak hilang, Eric Chang Wei Jie kedengaran di Jeti Muara Tebas, hari ini.
Dynasty Chang Ka Hui, 25, yang sedang hamil 7 bulan, tiba di lokasi kira-kira pukul 3.45 minit petang dan turut ditemani suami serta dua orang ahli keluarga.
Ratapan Dynasty yang memanggil nama anaknya jelas kedengaran sambil menyebut perkataan yang tidak dapat difahami kerana terlalu sedih akibat kehilangan anaknya.
Dia juga hampir pitam ketika berjalan pulang dari jeti tersebut kerana terlalu lemah.
Menurut maklumat Pusat Operasi Muara Tebas, operasi SAR yang masuk hari kedua itu diteruskan meliputi tiga batu nautika dari Jeti Muara Tebas.
Sementara itu, operasi pencarian ditangguhkan lewat petang ekoran cuaca yang semakin gelap dan hujan lebat serta akan disambung semula pada pukul 7 pagi esok.
Pada Ahad, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah memaklumkan pihaknya mengklasifikasikan kehilangan kanak-kanak berkenaan sebagai kes bunuh.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – TVS