SIBU, 14 Mac : Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa satu (2020-2022) di Sarawak dapat memacu aspirasi kerajaan negeri untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030.
Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sarawak Adiman Ajem berkata beberapa perancangan strategik kerajaan negeri seperti pelan Strategi Ekonomi Digital Sarawak (2018-2022) dan Strategi Pembangunan PascaCOVID-19 (PCDS) 2030 ialah pemangkin kejayaan itu.
Oleh itu, beliau berkata adalah penting penyediaan infrastruktur digital yang meluas dan berkualiti dalam menyokong inisiatif itu yang dipacu kerajaan negeri terutama dalam pelaksanaan inisiatif ekonomi digital seperti aplikasi e-wallet SpayGlobal (Sarawak Pay) dan Kuching Smart City.
“Penting untuk kita menyediakan rangkaian internet dengan liputan dan kualiti kelajuannya sesuai bagi kegunaan rakyat,” katanya kepada Bernama selepas melakukan tinjauan di tapak menara telekomunikasi Simpang Ulu Bayan di Mukah, kira-kira 180 kilometer dari pekan Sibu, di sini baru-baru ini.
Kerajaan Persekutuan pada November 2021 mengumumkan peruntukan sebanyak RM4.09 bilion kepada Sarawak untuk melaksanakan inisiatif JENDELA fasa satu sebagai usaha memperluas dan menambah baik perkhidmatan jalur lebar dan sebagai persediaan peralihan kepada teknologi 5G.
Adiman berkata JENDELA fasa satu melibatkan empat komponen utama iaitu perluasan liputan gentian optik ke premis, pembinaan menara 4G baharu, naik taraf stesen pemancar ke teknologi 4G dan penyediaan perkhidmatan jalur lebar melalui teknologi satelit.
Bagi pembinaan menara 4G baharu, beliau berkata perancangan adalah membina 824 menara dan setakat ini 82 lokasi telah disiapkan.
“Baki 742 menara akan disiapkan secara berperingkat bermula tahun ini sehingga suku ketiga 2023,” katanya.
Selain itu, Adiman berkata liputan gentian optik ke premis telah mencapai 76,000 premis melibatkan kediaman dan perniagaan dan bakinya akan disiapkan tahun ini.
Katanya sasaran JENDELA fasa satu adalah sebanyak 116,096 premis diliputi kemudahan capaian gentian optik.
Bagi projek naik taraf stesen pemancar ke teknologi 4G, Adiman berkata sebanyak 3,014 stesen pemancar dirancang pembinaanya dan kini 2,400 stesen telah disiapkan manakala bakinya akan disiapkan tahun ini.
Beliau berkata jalur lebar satelit adalah menyediakan perkhidmatan jalur lebar melalui teknologi satelit di kawasan yang belum diliputi dengan kemudahan jalur lebar sebelum ini.
Dalam pada itu, beliau berkata 523 lokasi dirancang di bawah JENDELA fasa satu dengan 464 lokasi telah siap dan bakinya akan disiapkan sebelum Mei tahun ini.
Mengulas mengenai menara telekomunikasi di Simpang Ulu Bayan yang dinaik taraf dari 3G ke 4G, Adiman berkata menara tersebut telah siap pada 2020 tetapi ketika itu perkhidmatan 2G dan 3G disediakan.
Namun di bawah inisiatif JENDELA fasa satu, menara itu dinaik taraf ke teknologi 4G pada awal tahun ini yang meliputi lebih 10 rumah panjang sekali gus memanfaatkan kira-kira 1,000 penduduk di sekitar kawasan itu. – TVS