Oleh Ahmad Burhanudin
KUCHING, 13 Mac: Sarawak United FC tidak berdepan masalah melangkah ke pusingan kedua Piala FA setelah membelasah Ultimate FC 7-0 dalam perlawanan pusingan pertama di Stadium Negeri Petra Jaya sebentar tadi.
Pelawat yang beraksi di Liga M3 cuba memberi tentangan pada awal permainan namun gawang mereka bocor seawal minit ke-9 perlawanan apabila pertahanan Sarawak United , Boris Kok membuka akaun jaringan tuan rumah.
Kedudukan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama namun skuad Kenyalang Emas tampil dengan penguasaan penuh bagi 45 minit berikutnya.
Pesta jaringan Sarawak United bermula pada minit ke-50 apabila ketua pasukan, Uche Agba menjaringkan gol kedua sebelum Nur Shamie Iszuan menambah derita pelawat dengan gol ketiga berselang tujuh minit kemudian.
Agba sekali lagi tidak mensia-siakan peluang apabila menambah jaringan keempat pada minit ke-71 setelah menyempurnakan sepakan penalti.
Belum sempat pasukan pelawat mengatur permainan, skuad kendalian B. Sathianathan memperolehi jaringan kelima , seminit kemudian menerusi jaringan Ahmad Khairil Anuar.
Mohammad Zharmien pula mencetak nama selaku penjaring gol keenam pada minit ke-80.
Kone Kouassi Francis menutup pesta jaringan tuan rumah menerusi gol ketujuhnya pada minit ke-85.
Dua lagi perlawanan turut menyaksikan pasukan Liga Super membelasah pasukan M3 dengan JDT tanpa belas kasihan menyingkirkan Budak Rumah Merah FC dengan keputusan 10-0 manakala KL City FC mencatatkan keputusan 8-0 bertemu Langkawi FC.
Satu lagi pasukan Liga Super , PJ City FC pula menyingkirkan Kelantan FC yang beraksi di Liga Perdana dengan keputusan 2-1. -TVS