KULAI, 13 Mac : Pakatan Harapan (PH) Johor menerima kekalahannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan akan melakukan ‘post mortem’ bagi mengenal pasti sebarang kelemahan, kekurangan dan kesilapan, kata Penyelaras PH Johor Aminolhuda Hassan.
Pascanilai itu katanya adalah penting, bagi membolehkan PH bangkit semula ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Beliau berkata PH menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat Johor, serta menghargai semangat yang ditunjukkan pengundi di negeri ini, walaupun peratusan keluar mengundi pada PRN Johor adalah rendah terutamanya dalam kalangan pengundi muda, undi 18 serta pengundi baharu yang didaftarkan secara automatik.
“Kami akan mengadakan ‘post-mortem’ untuk memastikan sebarang kesilapan bagi membolehkan kami bangkit.
“Ini penting supaya PH bersiap sedia untuk menghadapi PRU akan datang, khususnya BN yang kita ketahui memang ghairah mahu mengadakan PRU secepat mungkin,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.
Dalam pada itu, Aminolhuda yang juga merupakan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu berkata, antara pengajaran yang boleh diambil dari PRN Johor adalah, parti pembangkang sepatutnya bersatu dalam satu khemah yang sama.
“Salah strategi atau tidak, itu sudah lepas, selepas ini masing-masing perlu berlapang dada dan terima pandangan satu sama lain dengan ikhlas, kerana keputusan ini tidak dijangkakan,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya adakah pertembungan PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin antara penyebab kekalahan mereka, Aminolhuda enggan mengulas lanjut.
“Kami tidak mahu melihat isu pertelingkahan itu sebagai faktor, sebab kita bukan hanya kalah di kerusi berkenaan sahaja tetapi kerusi lain-lain pun kita kalah juga,” tambahnya.
Mengulas kedudukannya selaku Pengerusi PH Johor, beliau yang tewas di kerusi DUN Parit Yaani itu, menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan tertinggi PH untuk membuat keputusan.
Sementara itu Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata jika mereka mempunyai tempoh satu minggu lagi untuk berkempen, kesemua empat kerusi ditandingi oleh calon parti iaitu Paloh, Yong Peng, Bekok dan Pekan Nanas, akan dapat dikekalkan mereka.
“Jika kami mempunyai satu minggu lagi waktu berkempen, BN akan mempunyai kerusi yang kurang (tetapi) kami tewas majoriti dua pertiga. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua. Ia satu pertandingan yang sukar,” katanya. -TVS