Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Taukeh air terima anugerah pelajar cemerlang konvokesyen i-CATS
Taukeh air terima anugerah pelajar cemerlang konvokesyen i-CATS

Tauke air terima anugerah graduan cemerlang Kolej Universiti i-CATS

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 12 Mac: Di sebalik kesibukan menguruskan perniagaan, Zaireen Arabi membuktikan dia tetap mampu untuk cemerlang dalam pengajian apabila terpilih menerima Anugerah Pengerusi Sarawak Skills sempena Majlis Konvokesyen Kolej Universiti i-CATS dan Kemahiran Sarawak ke-24.

Menurut graduan Diploma Kemahiran Malaysia Sokongan Sistem Kejuruteraan Automasi Industri ini, dia hanya mengetahui khabar gembira itu kira-kira seminggu sebelum majlis graduasi.

Zaireen, 23, mengakui bergelar pelajar dan usahawan pada masa sama bukan perkara mudah namun dia tiada pilihan melainkan perlu bijak membahagikan masa.

“Sekiranya terdapat urusan perniagaan yang memerlukan saya berada di premis pada waktu belajar, saya akan memaklumkan kepada pensyarah dan menerangkan situasi,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan di sini hari ini.

Pada masa sama, Zaireen yang menguruskan perniagaan minuman di bawah jenama Dingin Sore berkata, setelah meletakkan sasaran untuk menamatkan pengajian dan menguruskan perniagaan, dia perlu komited dan berusaha menyelesaikan tugasan dalam masa ditetapkan.

Katanya, ‘kegagalan’ dahulu ketika zaman persekolahan menyebabkan dia tidak mahu lagi sekadar ‘main- main’ ketika belajar di kolej universiti berkenaan.

“Sebenarnya, saya gagal ketika peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan tidak meneruskan pengajian sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kemudian saya sambung belajar di Sarawak Skill selama dua tahun, merantau ke Kuala Lumpur mencari pengalaman kerja dan pulang semula ke Sarawak untuk memulakan perniagaan minuman berkenaan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi graduan cemerlang, Nurfara Adiba Udin yang bergraduasi dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.97 berkata, untuk mencapai prestasi sebaik itu memerlukan pengorbanan yang besar.

Nurfara Adiba Udin.

“Saya percaya setiap orang ada cara tersendiri untuk belajar, begitu juga saya.

“Jadi untuk mendapat keputusan yang baik, pelajar perlu tahu cara yang berkesan untuk dirinya.

“Sekiranya sudah mengetahui cara kondusif, dari situlah kita akan dapat membahagikan masa untuk keluarga, rakan-rakan dan diri sendiri,” ujarnya.

Graduan Diploma Pentadbiran Perniagaan itu juga memberitahu sebagai pelajar, dia turut berdepan cabaran kerana perlu menyesuaikan diri mengadaptasi norma baharu iaitu sesi pengajaran dan pembelajaran dalam talian.

Seramai 697 graduan Kolej Universiti i-CATS dan Kemahiran Sarawak daripada pelbagai program akademik dan kemahiran telah bergraduasi dalam Majlis Konvokesyen ke-24 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching hari ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan