Gambar Arkib
KUCHING, 12 Mac: Sarawak kini menjadi negeri yang berada di hadapan dalam usaha membina ekonomi berasaskan gas hidrogen.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak juga sudah mula membangunkan projek pengunaan tenaga gas hidrogen terutamanya melibatkan bas dan kereta.
Asas kepada perkara itu, jelas Abang Johari ialah kerana Sarawak mahu menjadi pengeluar utama gas tersebut di rantau ini.
“Pelabur asing juga telah nyatakan komitmen untuk membina loji pengeluaran gas hidrogen hijau di Bintulu.
Kita jangkakan hasilnya akan dieksport khususnya ke pasaran Jepun,” katanya.
Abang Johari berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn sempena Majlis Konvokesyen Kolej Universiti i-CATS dan Kemahiran Sarawak ke-24 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini hari ini.
Seramai 697 graduan menerima sijil, diploma dan Ijazah Sarjana Muda pada Majlis Konvokesyen tersebut.
Abang Johari berkata, gas hidrogen dijangka menjadi tenaga utama di peringkat global untuk jangka masa panjang.
Sehubungan itu ujarnya, Sarawak perlu melahirkan tenaga mahirnya sendiri bagi memastikan kejayaan agenda ekonomi hidrogen yang disedang difokuskan. – TVS