JOHOR BAHRU, 12 Mac: Proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 telah memasuki separuh hari, dengan peratusan keluar mengundi setakat 2 petang adalah sebanyak 40 peratus.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebuah lagi pusat mengundi iaitu Sekolah Kebangsaan Pulau Pemanggil di Mersing yang melibatkan satu saluran bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh dan mempunyai 100 pengundi yang layak mengundi ditutup pada pukul 1 tengah hari tadi.
Sebanyak 15 pusat mengundi pula ditutup pada 2 petang, manakala 41 pusat mengundi akan ditutup pada 4 petang. Pusat-pusat mengundi lain akan ditutup pada 6 petang.
Tinjauan Bernama di jeti Mersing, beg berisi kertas undi dan kelengkapan dari pusat pengundian Balai Raya Pulau Besar bagi DUN Tenggaroh yang ditutup pada 11 pagi telah tiba di jeti tersebut pada kira-kira 1.20 tengah hari dengan menaiki bot laju.
Pusat mengundi yang mempunyai satu saluran dan 34 pengundi yang layak mengundi itu menjadi pusat mengundi pertama yang ditutup bagi PRN Johor. – TVS