Kredit gambar: Bernama
KUCHING, 12 Mac: Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi akhirnya tampil mengumumkan persaraannya daripada pertandingan kompetitif gimnastik.
Sebelum ini, status pemegang pingat emas Sukan SEA 2019 itu menjadi tanda tanya kerana ‘mengunci mulut’ berhubung spekulasi telah menghantar surat persaraan kepada Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF).
Hari ini menerusi akaun Facebook beliau, Farah Ann, 27, telah mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada sukan yang telah diceburinya sejak 25 tahun yang lalu.
Menurut atlet Selangor itu, keputusan ini tidak mudah kerana sukan berkenaan telah menjadi minat utamanya sejak kecil lagi.
“Sekitar 25 tahun lalu, seorang gadis kecil telah mengambil langkah berani dan menyertai dunia gimnastik.
Terpesona untuk menjadi seorang gimnas, saya mulakan perjalanan tersebut hingga akhirnya ia menjadi minat terbesar dalam hidup saya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Farah Ann memegang rekod sebagai salah seorang atlet gimnastik artistik negara terbaik sepanjang zaman.
Dia mengumpul tujuh emas menerusi penampilannya di Singapura (2015), Kuala Lumpur (2017) dan Manila (2019).
Farah Ann juga mencipta sejarah apabila menjadi atlet gimnas ketiga negara yang berjaya beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Kali terakhir Malaysia diwakili atlet gimnas di Olimpik adalah semasa Sukan Olimpik 2004 di Athens menerusi Ng Shu Wai dan sebelum itu Au Li Yen pada Olimpik 2000 di Sydney. – TVS