Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Dua wanita kerugian RM17,000 ditipu sindiket Macau Scam

ByTVS

SIBU, 12 Mac: Dua wanita masing-masing mengalami kerugian RM7,000 dan RM10,000 selepas ditipu anggota sindiket ‘Macau Scam’ yang menyamar sebagai pihak berkuasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Dr Collin Babat, berkata dua kes tersebut melibatkan seorang wanita muda berusia 21 tahun yang merupakan seorang penuntut di sebuah pusat pengajian tempatan, manakala seorang lagi merupakan pekerja kilang berusia 26 tahun di sini.

Menurut Collin, penipuan pertama berlaku pada jam 1.30 petang 9 Mac lalu apabila pengadu menerima satu panggilan telefon daripada seorang pemanggil yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mendakwa kad pengenalan pengadu telah didaftarkan di bawah sebuah syarikat di bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.

Seterusnya pengadu dihubungi seseorang yang mendakwa diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, kononnya untuk memaklumkan bahawa pengadu terlibat dengan pengubalan wang haram dan penjualan dadah.

“Mangsa yang ketakutan hanya mengikut arahan suspek, termasuk menyerahkan butiran akaun miliknya, dan diminta untuk memindahkan semua wang simpanannya sebanyak RM7,830 ke dalam akaun yang diberikan, dengan dijanjikan pengembalian wang itu dalam masa 45 minit,” Collin memberitahu dalam satu kenyataan pada hari ini.

Setelah itu, katanya, pengadu cuba menghubungi suspek untuk mengetahui status wangnya namun panggilan pengadu telah disekat.

Sementara itu, dalam kes kedua, seorang pekerja kilang turut mengalami nasib yang sama selepas dia menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Telekom Malaysia dan memberitahunya bahawa satu talian Wifi telah didaftarkan atas nama pengadu di Seremban, Negeri Sembilan, dan ini, menurut lelaki itu, dikategorikan sebagai jenayah siber.

Collin berkata, pengadu menafikan dakwaan itu namun panggilan itu telah disambung pula kepada seorang individu yang kononnya adalah pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.

Pengadu diberitahu bahawa dia telah dibabitkan dengan seorang penipu dikenali sebagai ‘Chao Tian Fu’ yang dikatakan telah memasukkan wang haram ke dalam akaun pengadu.

Collin menambah, pengadu yang panik dan takut, telah mengikut sahaja arahan suspek dengan memberikan kata laluan, nombor Kod Kebenaran Transaksi (TAC), dan maklumat akaun bank miliknya dan juga ibunya.

“Apabila pengadu membuat semakan, dia mendapati duit dI dalam akaunnya kurang RM6,000 manakala akaun ibunya juga kurang RM4,000,” katanya.

Apabila dia sedar dirinya telah ditipu, pengadu tampil ke balai polis untuk membuat laporan.

Collin memaklumkan bahawa kedua-dua kes penipuan itu sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan