MIRI, 11 Mac: Seorang wanita warga emas melecur pada tangan dan dahinya akibat kebakaran di Jalan Tanjung Batu 1A, Kampung Padang Kerbau, dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian itu, Asiah Morshidi, 59, bersama anaknya, Mohamad Sahriel Abdullah, 25, bergegas meninggalkan rumah mereka selepas menyedari api sedang marak.
Menurut jurucakap, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Malaysia Sarawak, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Miri untuk menerima rawatan.
Jelas kenyataan itu juga, operasi pemadaman dilakukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng yang diketuai Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II, Hamdani Madon.
“Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.17 malam tadi dan setibanya di tempat kejadian, pasukan mendapati rumah setingkat itu sudah 85 peratus dijilat api,” jelas PGO.
Operasi tamat pada pukul 12.52 tengah malam dan punca serta nilai kerugian masih dalam proses siasatan. – TVS