SERIAN, 11 Mac: Sebanyak 1,000 unit barangan kelengkapan sekolah disumbangkan kepada pelajar di 108 buah sekolah di kawasan ini oleh Pertubuhan Kebajikan Dana Kita menerusi Program Bag2School (BTS).
Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak II, Martin Ben berkata, selain itu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian juga bakal menerima dana untuk tujuan menambah baik mutu pendidikan di sini.
Katanya, menerusi kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan negeri termasuk Yayasan Sarawak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), lebih banyak bantuan telah diagihkan di sini sejak enam tahun lepas.
“Selain Serian, inisiatif ini juga telah diperluaskan di seluruh Sarawak kerana menjadi hasrat kerajaan negeri untuk memastikan lebih ramai murid – murid dan pelajar sekolah menerima manfaat,”katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Program BTS Sarawak Bahagian Serian di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (PPKS) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Dana Kita, Mohd. Fadli Mohamed Salleh.
Sementara itu, Mohd. Fadli berkata, selain kelengkapan persekolahan, pihaknya turut menyumbangkan 2,000 bungkusan barangan dapur kepada keluarga pelajar.
” Kita berharap agar bantuan ini mampu mengurangkan bebanan keluarga murid-murid dan mereka akan lebih bersemangat untuk belajar,” katanya. – TVS