KUCHING, 11 Mac: Pasukan Kuching City FC musim ini yang beraksi di Liga Perdana tidak mahu sekadar menjadi pasukan pelengkap jadual sebaliknya memasang impian tinggi untuk layak ke Liga Super tahun depan.
Ketua Jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim berkata, sejak awal tahun ini, mereka telah membuat persiapan rapi bagi memastikan mampu melangkah jauh dalam pertandingan musim ini.
Seperti pasukan lain, Irfan Bakti berkata, skuad The Cat turut mengadakan siri perlawanan persahabatan dengan menguji empat pasukan Liga Super.
“Kami bertemu Sabah FC, Negeri Sembilan, PJ City dan JDT.
Saya menggunakan perlawanan – perlawanan berkenaan untuk menilai keupayaan dan kelemahan yang perlu diperbaiki oleh para pemain,” katanya kepada TVS di sini hari ini.
Jelas bekas Ketua Jurulatih Persipura Jayapura, Indonesia itu, berikutan persiapan rapi, beliau mahu melihat Kuching City ‘menerkam’ setiap lawan yang bakal ditemui dengan lebih agresif pada musim ini.
“Saya secara peribadi sasarkan kedudukan kedua terbaik dalam liga supaya kami layak ke saingan liga utama.
Musim lepas kami menamatkan saingan di kedudukan lima teratas dan layak ke Piala Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun katanya, perkembangan jangkitan COVID-19 yang menjejaskan beberapa pasukan lawan mereka sehingga perlawanan pembukaan menentang PDRM FC baru – baru ini terpaksa ditangguhkan, sedikit menganggu rentak permainan mereka.
“Perlawanan menentang UiTM FC bagi saingan Piala FA yang sepatutnya dilangsungkan pada 15 Mac ini turut ditangguhkan namun saya berharap perlawanan pada 19 Mac ini menentang Terengganu II FC dapat dilangsungkan seperti dijadualkan,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah Kuching City FC, Diego Baggio Anak Test berkata, walaupun sedikit terganggu dengan penangguhan perlawanan, namun dia dan rakan sepasukan tidak sabar untuk memulakan aksi menentang Terengganu II FC.
“Mereka (Terengganu II FC) antara pasukan kuat selain Selangor FC II, namun sekiranya diturunkan nanti, saya akan memberi tumpuan 100 peratus,” katanya. – TVS