KUCHING, 11 Mac: Kawasan barat dan tengah Sarawak diramal akan menghadapi kejadian ribut petir, hujan lebat serta angin kencang berikutan fasa peralihan monsun.
Fenomena ini akan turut menyebabkan rantau Malaysia menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, fasa peralihan monsun dijangka bermula Isnin ini sehingga pertengahan Mei depan sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut sejak 3 November lepas.
Jelasnya kejadian ini akan berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di Pantai Barat, pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta bahagian barat dan tengah Sarawak.
“Keadaan cuaca itu berpotensi menyebabkan kejadian banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada,” katanya menerusi kenyataan media.
Orang ramai juga diingatkan supaya peka dengan ramalam dan amalan cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia melalui laman web rasmi aplikasi MyCuaca dan media sosial rasmi serta boleh menghubungi talian 03 – 7967 8000 / 8200 bagi sebarang pertanyaan. – TVS