KANOWIT,11 Mac: Fenomena kabus tebal yang melanda daerah ini dipercayai menjadi punca kemalangan melibatkan sebuah kereta dinaiki sepasang suami isteri di Kilometer (KM) 20, Jalan Majau, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Tega Bilong berkata, dalam kejadian pada pukul 3.04 pagi itu, kereta jenis Honda Civic yang dipandu oleh suami mangsa secara tiba – tiba hilang kawalan setibanya di kawasan selekoh.
Katanya, kereta itu kemudian terbabas ke dalam kawasan semak di sebelah kanan jalan.
“Ketika kejadian mereka dalam perjalanan ke Sibu dari arah Song.
Akibat kejadian itu, wanita berkenaan yang berusia 44 tahun itu patah kaki kanan manakala suaminya cedera ringan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit yang bergegas ke lokasi berjaya mengeluarkan kedua -dua mangsa dan dibawa ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – TVS