KUCHING, 11 Mac: Sarawak mencatatkan dua kes kematian akibat jangkitan COVID-19 pada hari ini serta kemunculan satu kluster baharu.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kematian pertama melibatkan wanita warga emas berusia 89 tahun di Hospital Sibu yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, dislipidemia, penyakit jantung dan penyakit paru-paru kronik.
Kematian kedua pula melibatkan seorang wanita berusia 78 tahun yang meninggal dunia di Hospital Limbang dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan dislipidemia.
“Kluster baharu pula merujuk kepada Kluster Jalan Batu Kaya, Lubok Antu yang melibatkan sebuah institusi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia di daerah itu,” jelas JPBN.
Sementara itu, jumlah kes baharu sebanyak 1,745 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 275,850 kes sejak pandemik ini bermula.
Kuching terus menjadi daerah yang mempunyai kes baharu tertinggi dengan 776 kes, Miri (197), Sibu (170), Bintulu (100) dan Serian (84). – TVS