Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Aaliyah muncul juara keseluruhan Moomba Masters

KUALA LUMPUR, 11 Mac: Atlet ski air remaja negara Aaliyah Yoong Hanifah muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Moomba Masters 2022 di Melbourne, Australia, hari ini.

Atlet berusia 18 tahun itu merangkul emas dalam acara ‘tricks’ dan ‘jump’ serta gangsa dalam acara ‘slalom’ untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam kejohanan yang berlangsung di Sungai Yarra itu.

Dalam acara ‘tricks’, beliau meraih emas selepas mencatat keseluruhan 6,780 mata dalam dua hari pertandingan, diikuti atlet tuan rumah Erica Hayes (5,680 mata) dan Dominga Gonzalez dari Chile (3,580 mata).

Aaliyah Yoong terus beraksi cemerlang dengan melakukan lompatan penuh bergaya bagi acara ‘jump’.

Atlet remaja itu, mencatat rekod kebangsaan baharu dan rekod peribadi terbaik  39.5 meter (m) yang dicatatnya sendiri dalam pusingan pertama semalam, apabila berjaya melepasi jarak 40m dengan lompatan  41.4m untuk menang emas hari ini.

Sementara itu, Elizabeth Hall dari Amerika Syarikat di tempat kedua dengan 33.5m manakala Kristy Appleton dari Australia di tempat ketiga dengan 30.9m.

Dalam acara ‘slalom’, Aaliyah Yoong yang berada di tempat kelima selepas pusingan pertama, bangkit dengan melepasi 3/55/13 (tiga pelampung/55kmj/13m tali) untuk menduduki tempat ketiga di belakang Lara Butlin (1/55/12) dan Milla Hunter Bennett (4/55/13) kedua-duanya dari Australia.

Dua emas dan satu gangsa yang dirangkul Aaliyah, sudah cukup untuk memastikannya meraih emas keseluruhan dengan skor keseluruhan 2,891.89 manakala dua atlet Australia iaitu Bennett (2,032.98) dan Butlin (1,980.36) masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

“Saya suka bertanding dalam Moomba Masters. Apa yang pasti ini antara kejohanan kegemaran saya dan acara terbaik saya dalam kejohanan dunia.

“Saya sememangnya menyukai cabaran di Sungai Yarra dan satu pencapaian yang besar apabila mencatat rekod peribadi terbaik pada tahun ke-10 saya di sini. Catatan 41.4m sudah pasti sangat bermakna  bagi saya. Ini sudah pasti kemuncak kepada kerjaya saya di peringkat remaja dengan meraih tiga kemenangan dan satu gangsa dalam satu kejohanan yang mencabar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF) Hanifah Yoong berkata pencapaian Aaliyah cukup mengejutkan.

“Beliau terus memberi kejutan dan persembahan Aaliyah dua hari ini menunjukkan betapa  kuatnya beliau sekarang, dari segi fizikal mahupun mental,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan