Kredit gambar: Falklands Maritime Heritage Trust / National Geographic (kiri), Frank Hurley (kanan)
JOHANNESBURG, 10 Mac: Pasukan ekspedisi kutub Afrika Selatan berjaya menemui Endurance, iaitu bangkai kapal penjelajah kutub, Sir Ernest Shackleton, yang tenggelam di luar pantai Antartika pada 1915.
Menerusi satu kenyataan Falklands Maritime Heritage Trust, penganjur ekspedisi yang dinamakan Endurance22, pasukan tersebut berjaya menemui kapal itu 5 Mac lalu pada kedalaman 3,008 meter di Laut Weddell, kira-kira empat batu dari kedudukan asal kapal yang direkodkan oleh kapten Endurance pada masa itu, Kapten Frank Worsley.
Pengarah pasukan ekspedisi kapal penyelidikan kutub Afrika Selatan SA Agulhas II, Mensun Bound berkata mereka terharu dengan kejayaan mereka menemui dan merakam imej Endurance.
“Ini adalah bangkai kapal kayu yang terpelihara dengan baik sekali yang pernah saya lihat,” katanya. “Berdiri tegak di dasar laut, utuh, dan amat terpelihara.”
Pada tahun 1915, Shackleton bercita-cita mencipta sejarah untuk melintas Antartika atas darat melalui Kutub Selatan dari Laut Weddell ke Laut Ross.
Bagaimanapun, Endurance tenggelam di Laut Weddell selepas terperangkap dalam ais.
Shackleton dan 28 orang anak kapalnya terpaksa meninggalkan kapal mereka dan kembali ke negara mereka dengan selamat. – TVS