Kredit foto: Facebook Sarawak United FC
KUCHING, 9 Mac: Misi Sarawak United FC untuk memburu mata dalam Liga Super 2022 menentang juara bertahan JDT di kubu lawan terganggu apabila hilang dua pemain tonggak akibat kecederaan.
Ketua Jurulatihnya, B. Sathianathan berkata, beliau terpaksa melupakan khidmat S.Chanturu dan Amer Saidin yang disahkan tidak dapat beraksi.
Tidak ada cara lain, Sathianathan berkata, khidmat dua pemain import baharu iaitu Gonzalo Soto dan Francis Kone kini ditagih untuk menguatkan barisan skuad Kenyalang Emas pada perlawanan malam ini.
“Saya terpaksa menggunakan khidmat mereka berdua yang belum cergas sepenuhnya kerana baharu selesai menjalani kuarantin.
Sebenarnya, mereka telah sertai latihan bersama pasukan walaupun tidak sampai seminggu,” katanya kepada TVS di sini.
Mengenai sasaran apabila turun menentang juara bertahan itu, Sathianathan berkata, mereka mahu memperbaiki mutu permainan dalam setiap perlawanan yang diharungi.
“Pasukan akan mencuba yang terbaik dan bermain mengikut keupayaan yang dimiliki apabila bertemu mereka (JDT),” katanya.
Menurutnya, Sarawak United juga berkemungkinan akan menurunkan ‘lebih ramai’ pemain muda pada perlawanan itu serta pemain tempatan untuk menunjukkan kemampuan masing-masing.
Sarawak United FC membuka kempen Liga Super musim ini dengan kekalahan 0 – 1 kepada Kedah Darul Aman FC pada Jumaat lepas di gelanggang sendiri. – TVS