MUKAH, 9 Mac: Bukan sahaja masuk ke Malaysia secara haram, lebih berani seorang lelaki turut ‘menyimpan’ selaras senapang angin.
Bagaimanapun rakyat Indonesia berusia 35 tahun itu akhirnya masuk jerat apabila ditahan oleh sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah yang menjalankan operasi bersepadu petang semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superitendan Muhamad Rizal Alias berkata, pendatang asing tanpa izin (PATI) itu yang bekerja sebagai buruh ditahan pada pukul 6 petang di sebuah rumah pekerja di kawasan ladang, Jalan Selangau-Mukah.
Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan, suspek yang berasal dari Nusa Tenggara Timur, Indonesia itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Pemeriksaan dalam rumah berkenaan pula menemui senapang angin, satu botol dipercayai cecair spirit, 20 butir guli, satu karung guni warna putih, dan satu plastik warna biru,” katanya menerusi kenyataan media.
Ujar beliau, suspek mengaku masuk ke Sarawak pada 2019 melalui Tebedu dan kemudian bekerja di ladang kelapa sawit.
“Suspek turut mengaku membeli senapang angin, 20 butir guli, dan 1 botol cecair itu daripada rakannya yang dikenali sebagai Agus dengan harga RM50.
“Polis telah meminta bantuan Jabatan Imigresen Malaysia untuk semakan rekod keluar masuk suspek dan maklumat tangkapan telah dihantar kepada Pejabat Konsulat Indonesia dan Polis Antarabangsa (Interpol),” katanya.
Kes disiasat Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – TVS