KUALA LUMPUR, 9 Mac: Seramai 33 warga asing yang disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan sah ditahan di sebuah universiti swasta di Semenyih, Isnin lepas.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata pendatang tanpa izin yang ditahan itu bekerja sebagai tukang cuci serta tukang kebun dan terdiri daripada 27 warga Indonesia, empat rakyat Pakistan selain masing-masing seorang warga Bangladesh dan Nepal.
Beliau berkata hasil risikan mendapati kesemua pendatang tanpa izin berusia lingkungan 22 hingga 67 tahun itu bekerja dari 7 pagi hingga 4.30 petang dalam kawasan universiti berkenaan.
“Hasil maklumat risikan diperoleh, pekerja warga asing ini bekerja di universiti ini lebih kurang dua tahun dan tidak pernah memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) serta tiada dokumen pengenalan diri.
“Syarikat menggajikan warga asing ini juga dikatakan tidak pernah memohon PLKS bagi pekerjanya dan tujuh saman saksi dikenakan ke atas pengurus serta penyelia di syarikat tersebut bagi mengesan majikan sebenar,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Saman saksi merujuk kepada yang notis diberikan kepada individu terbabit untuk hadir ke Jabatan Imigresen bagi tujuan siasatan.
Khairul Dzaimee berkata semasa serbuan dilakukan, pendatang tanpa izin itu cuba melarikan diri dengan memanjat bukit di belakang bangunan asrama pelajar dan ada antara mereka cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan membuka pakaian seragam serta menggantikan dengan pakaian biasa.
Beliau berkata mereka akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – TVS