Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Air Terjun Susung
Air Terjun Susung

Meneroka Jurassic World kepunyaan Sarawak, Air Terjun Susung memukau

KUCHING, 8 Mac: Bagi pengunjung yang telah sampai di Air Terjun Susung yang terletak di Padawan, pasti menyedari pemandangan di sini ‘ada iras’ kawasan air terjun dalam filem terkenal Hollywood, ‘Jurassic World’.

Ya, benar, di Sarawak ada air terjun seperti itu malah terletak tidak jauh dari Kuching.

Boleh dianggap sebagai ‘Hidden Gem’ di Bumi Kenyalang, Air Terjun Susung di Banjaran Bengoh, sudah pasti menjadi ‘port’ yang perlu diterokai oleh pecinta aktiviti pendakian dan alam semulajadi.

Selepas melihat banyak perkongsian tentang indahnya kawasan ini di media sosial, penulis ambil keputusan untuk pergi bagi merasai pengalaman dan melihat sendiri keunikannya.

Penulis memulakan perjalanan pada pukul 6.30 pagi dan perjalanan menuju ke pintu masuk Empangan Bengoh mengambil masa lebih kurang satu jam tiga puluh minit dari pusat bandar.

Setibanya di jeti, penulis disambut oleh Wes Tami atau mesra disapa ‘Uncle Wes’ yang merupakan pengendali bot dan juru pandu untuk pendakian ke Air Terjun Susung.

Sedikit tips, sebelum ke sini, penulis sarankan anda tempah bot dan juru pandu terlebih dahulu.

Keindahan alam semula jadi dan air terjun di Banjaran Bengoh boleh dianggap sebagai hidden gem di Sarawak.

Caranya, google sahaja atau ‘selongkar’ Facebook, pasti jumpa beberapa pakej yang ditawarkan dengan harga berpatutan.

Perjalanan ke Pangkalan Dayak selama 20 minit menaiki bot tidak bosan kerana disajikan dengan pemandangan indah Banjaran Bengoh yang dikelilingi gunung ganang menghijau, tasik, air terjun dan inap desa yang cantik.

Pendakian ke Air Terjun Susung bermula setelah tiba di Pangkalan Dayak dan mengambil masa sekitar dua jam perjalanan, namun kalau stamina anda bagus, cepatlah sampai untuk menikmati pesona air terjun berkenaan.

Jika penat, usah risau, kerana terdapat tiga ‘stesen’ perhentian yang lengkap dengan tandas dan pondok kecil yang dibina oleh penduduk kampung untuk pengunjung berehat.

Uncle Wes yang sudah menjadi pengendali bot sejak 18 tahun lalu sempat berkongsi cerita tentang bagaimana Air Terjun Susung ini mula diterokai.

Katanya, dia dan kawan – kawan mengambil inisiatif untuk ‘mengira’ jumlah air terjun yang terdapat di banjaran itu.

” Jadi kami memulakan pendakian, pada waktu itu belum ada jalan dan kami hanya mengikut arus sungai sahaja sehingga menemui air terjun yang terakhir iaitu Air Terjun Susung,” katanya.

Menurut Uncle Wes, disebabkan belum ada laluan ke sana, mereka membuat jalan dan sejak itu, Air Terjun Susung mula dikenali sehingga ke hari ini.

Penulis turut berkesempatan melalui jambatan gantung yang dibina secara ‘manual’ oleh penduduk kampung iaitu Jambatan Gantung Pateng.

Belum tiba destinasi itu, pendakian melalui denai memberi kepuasan tersendiri kepada penulis kerana mendengar deruan air terjun yang sangat mendamaikan.

Keindahan tempat itu ditambah dengan sinaran mentari pagi melalui celah dedaun , menghidupkan lagi suasana hijau untuk menuju ke destinasi.

Sebelum sampai ke Air Terjun Susung, sepanjang pendakian, penulis sempat singgah di tiga air terjun lain iaitu Air Terjun Indang, Air Terjun Curtain dan Air Terjun Peen yang kesemuanya amat memukau.

Setelah singgah menikmati kesejukan Air Terjun Peen dan kecantikan permandangannya yang seperti sebuah lukisan, penulis menyambung semula perjalanan.

Penulis turut berkesempatan melalui jambatan gantung yang dibina secara ‘manual’ oleh penduduk kampung iaitu Jambatan Gantung Pateng.

Memecah keheningan, Uncle Wes menyambung semula ceritanya tentang destinasi ini.

Katanya ‘pembukaan’ tempat ini secara tidak langsung telah membuka peluang bagi penduduk tempatan untuk menjana pendapatan dan menambahbaik ekonomi terutama bagi yang mengusahakan bot dan membawa pelancong.

Beliau turut meluahkan rasa syukur kerana dengan adanya media sosial , tempat ini semakin dikenali dan menjadi tumpuan pengunjung.

Setelah rancak berbual, langkah penulis terhenti kerana tidak percaya pendakian ‘panjang’ akhirnya tiba di kaki Air Terjun Susung.

Bunyi deruan air, akar pokok yang berselirat dan batu-batuan besar yang unik menyambut ketibaan penulis.

Setelah sampai, barulah penulis faham mengapa tempat ini mendapat jolokan ‘Jurassic World’.

Berdepan air terjun itu , seolah-olah anda berdiri di hadapan pendingin hawa namun yang berbeza ialah, kesejukannya ‘asli’ dan udaranya yang begitu segar.

Menurut Uncle Wes, orang tua zaman dahulu percaya jika kerap datang ke sini, ia dapat menjadikan pengunjung awet muda dan sebab itulah penduduk kampung ‘menjaga rapi’ tempat ini untuk mengekalkan keindahannya.

Setelah puas menikmati kecantikan tempat ini dan merakam gambar kenangan, penulis meneruskan perjalanan ke inap desa yang diusahakan oleh penduduk.

Inap desa yang terletak di atas bukit juga mempunyai pemandangan indah, sesuai untuk merehatkan minda setelah penat bekerja.

Penat mendaki, pastinya perut sudah berbunyi dan hidangan makanan ala kampung termasuk ikan sungai dan sayur-sayuran yang disediakan pengusaha inap depa begitu membuka selera.

Tidak puas sekadar sehari dua di sini, mungkin ada kelapangan, penulis mahu bertandang lagi. Anda pula bila? – TVS

Berita Berkaitan

No data was found

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan

No data was found