KUCHING, 8 Mac: Proses undi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 Johor yang berlangsung hari ini menyaksikan peratusan keluar mengundi mencapai 87 peratus.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, peratusan itu mewakili 18,625 orang pengundi yang terdiri daripada anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama pasangan masing – masing.
“SPR ingin mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) , Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) , pihak berkuasa tempatan , media dan semua pihak yang terlibat memastikan kelancaran proses undian awal hari ini,” katanya menerusi kenyataan media.
PRN Johor akan berlangsung pada 12 Mac ini melibatkan 2,597,742 pengundi termasuk yang terlibat dengan proses undi awal hari ini bagi memilih 56 wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri dan kerajaan negeri baharu. – TVS