KUCHING, 7 Mac : Kejayaan Sarawak mewujudkan Smart City (Bandar Pintar) telah menarik minat Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ TS. Dr Yuserrie Zainuddin pihaknya masih lagi meneliti sama ada pendekatan yang digunakan untuk melaksanakan smart city di Sarawak dapat diguna pakai di UMP dan seterusnya di Pahang secara keseluruhan.
Pihaknya akan menggunakan kepakaran mereka menjalankan tugas sebagai pemberi khidmat nasihat kepada rakyat di negeri Pahang.
“Maka untuk kali ini kita mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kita melihat bagaimana kami dapat bekerjasama untuk meneruskan aktiviti berkaitan smart city.
“Kita juga akan memastikan pendekatan ataupun kaedah yang digunakan di sini dapat digunakan untuk mewujudkan Smart Campus di UMP dan seterusnya smart city di Pahang,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pejabat Premier Sarawak di sini, hari ini.
Kunjungan diketuai oleh Pengerusi UMP, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan ia merupakan kunjungan kedua daripada pihak UMP.
Dalam pada itu, pihaknya juga akan mengadakan lawatan ke SEDEC Equin Sarawak dan melihat bagaimana cara untuk membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menunggang kuda.
“Kita ingin melihat bagaimana potensinya terutama sekali untuk membantu mereka yang kelainan upaya (OKU) menunggang kuda,” ujarnya. – TVS