MUKAH, 7 Mac : Pengeluaran hasil pertanian tempatan diakui masih tidak mencukupi untuk tempoh ini bagi keperluan tempatan terutamanya bagi sayur-sayuran segar seperti cili dan sebagainya.
Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsmen yang juga selaku Adun Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya berkata pasaran tempatan terhadap bekalan hasil pertanian sentiasa ada dan masih juga tidak mencukupi.
“Sehubungan itu sudah pastilah usaha untuk kejayaan yang lebih besar kita mesti mengusahakan dan mengeluarkan tanaman hasil pertanian ini dalam jumlah kapasiti yang besar.
“Sudah pasti kita mahu rakyat dibantu, mesti dididik, mesti menjalani kursus dan mesti diajar menggunakan teknologi termasuk ilmu agropreneur,” Katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan kerjanya ke ladang cili fertegasi di Kampung Jebungan Mukah pada Ahad.
Tambahnya lagi melalui usaha tersebut Sarawak sekurang-kurangnya tidak lagi bergantung kepada import makanan daripada luar tetapi sekiranya dapat memenuhi keperluan tempatan ia sudah cukup memadai.
“Kita lihat bagaimana masyarakat terlibat dalam perniagaan pertanian ini, perancangan kita di Igan ini mestilah perancangan jangka panjang.
“Perusahaan ini tidak boleh dibuat sekadar satu dua kali tuaian kemudian selepas itu berhenti kita tidak mahu perkara seperti itu berlaku dalam masyarakat kita.
“Sebab itu perancangan yang kita ingin buat di seberang Igan itu adalah satu perancangan besar dan untuk jangka masa panjang, malahan usaha kita ini adalah sejajar seruan Premier Sarawak untuk menjadikan Sarawak sebagai salah satu pengeksport utama bagi produk pertanian,” ujarnya lagi.
Lawatan kerjanya ke ladang fertegasi cili di Jebungan tersebut bersama beberapa agensi dan pihak Sukip Farming pada Ahad merupakan langkah awal pihaknya bagi melihat kerangka awal bagaimana projek pertanian di Igan dapat dimajukan nanti.
Projek yang bakal menekankan pertanian moden kepada lebih 100 ahli keluarga yang terpilih di Igan ini nanti akan mendapat kerjasama pihak Recoda dan fokus utama bagi membantu golongan B40 dan rakyat miskin yang memerlukan.
Terdahulu Juanda turut meninjau tapak tanah milik Lembaga Amanah Kebajikan Islam Igan seluas 260 ekar di seberang Igan untuk tujaun projek ekonomi pertanian di akar umbi bersama pihak Recoda. – TVS