MUKAH, 7 Mac : Tanah seluas 105 hektar milik Lembaga Amanah Kebajikan Islam Igan di kawasan Igan bakal dibangunkan dengan program pertanian moden di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) bersama Sukip Farming.
Menurut Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsmen Datuk Dr Juanda Jaya, ia bagi membantu 100 keluarga golongan B40 di kawasan Igan melalui program pertanian terancang dan ilmu pertanian moden yang bermanfaat.
“Ini merupakan perancangan besar kita untuk membantu mengatasi masalah kemiskinan luar di bandar.
“Melalui contoh yang dibuat oleh pihak Sukip Farming terutama bersama dengan peserta beliau di Jebungan ini adalah satu contoh bagaimana kita mampu membantu penduduk di kawawan luar bandar dapat meningkatkan pendapatan juga memastikan mereka ada pendapatan sampingan,” katanya
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam lawatannya ke ladang fertegasi Cili di Kampung Jebungan Mukah pada Ahad.
Tambah Juanda yang juga Adun Jemoreng, usaha itu adalah bagi menyahut seruan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg supaya menjadikan Sarawak sebagai pengimport utama produk serta hasil pertanian ke luar Sarawak.
“Pertanian moden ketika ini tidaklah seperti pertanian tradisional seperti satu ketika dahulu, kini para pengusaha mendapat bantuan untuk memudahkan kaedah pertanian daripada bantuan teknologi.
“Pengeluaran yang banyak boleh memenuhi pasaran tempatan dan juga dieksport ke kawasan lain dan ini akhirnya dapat membantu mempertingkatkan ekonomi serta pendapatan penduduk,” ujarnya lagi.
Turut sama dalam lawatan berkenaan ialah Taib Sukip pemilik Sukip Farming dan beberapa wakil dari setiap agensi kerajaan. – TVS