SARIKEI, 6 Mac : Seorang pemilik kedai makanan dikompaun RM300 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akibat tidak mempamerkan tanda harga yang jelas pada menu jualannya.
Ketua KPDNHEP Cawangan Sarikei, Mohamad Zawawi berkata, kompaun dikeluarkan selepas siasatan dilakukan oleh sepasukan pegawai di premis berkenaan semalam.
Katanya, pemilik kedai didapati melakukan kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (penandaan harga bagi barangan dan caj perkhidmatan) 2020.
“Siasatan dilakukan susulan satu hantaran seorang pengguna di laman sosial yang mendakwa semangkuk mi sup ikan yang dimakannya di sebuah itu berharga RM60.
Kemaskini itu telah mendapat pelbagai komen daripada orang ramai,” katanya menerusi kenyataan media di sini.
Mohamad Zawawi berkata, peniaga itu menjelaskan, mi sup yang dipesan oleh pelanggan berkenaan menggunakan ikan patin yang bernilai tinggi namun mengakui dia tidak meletakkan tanda harga yang jelas pada menu makanan.
“Sehubungan itu, saya meminta peniaga supaya jujur ketika menjalankan perniagaan dan mengikut peraturan dengan meletakkan tanda harga yang jelas bagi memudahkan pengguna membuat pilihan,” katanya.
Pada masa sama katanya, pengguna juga perlu menyemak menu yang disediakan dan memastikan harga sebelum membuat pesanan. -TVS