KUCHING, 6 Mac : Sarawak telah mengadakan rundingan pembelian pil antiviral Paxlovid, keluaran Pfizer untuk kegunaan rakyatnya.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian berkata, Pengerusi Kumpulan Penasihat COVID-19 Sarawak , Datu Dr. Andrew Kuyu telah mengadakan rundingan dengan syarikat pengeluar terbabit baru – baru ini.
“Ketika Kementerian Kesihatan (KKM) bergantung kepada syor pakar, Kerajaan Sarawak pula memberi tugasan untuk mencadangkan ubat yang perlu dibeli kepada pasukan pakar tempatan yang ditubuhkan iaitu SCOVAG,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Kui Hian berkata, Sarawak turut ‘meninjau’ beberapa ubatan keluaran syarikat lain yang akan digunakan untuk tujuan rawatan wabak berkenaan.
“Hasrat Sarawak untuk memperoleh Paxlovid serupa dengan Ronapreve, rawatan antibodi COVID-19 yang dibangunkan oleh Roche yang dibeli kerajaan negeri dan ketika ini telah dihantar kepada empat hospital utama di negeri ini,” katanya.
Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan sebanyak 110,000 ubat antiviral COVID-19, Paxlovid keluaran Pfizer akan tiba di Malaysia pada Mac ini dan akan digunakan untuk merawat golongan berisiko.
Sebelum ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak mahu mendapatkan ubat-ubatan COVID-19 yang diperlukan berasaskan sains sebagai penambah serta pelengkap perkhidmatan yang disediakan KKM untuk rakyat Sarawak dalam perjuangan menentang COVID-19.-TVS