Kredit gambar Facebook DBKU
KUCHING, 6 Mac : Berikutan peningkatan kes jangkitan baharu COVID-19, orang ramai yang menyertai program Pagi Bebas Kenderaan di Kuching mengambil langkah berhati – hati.
Seorang pengunjung, Nor Faizul berkata, walaupun turun ke ‘jalanan’ untuk beriadah, namun pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan perlu dititikberatkan.
“Didikan dan pemahaman terhadap SOP amat penting dan kita tidak boleh leka.
Saya turut mendidik anak- anak supaya sentiasa peka, menjaga jarak dan terus mandi apabila pulang ke rumah,” katanya kepada TVS.
Menerusi penganjuran Pagi Bebas Kenderaan di Kuching bermula pukul 6 hingga 10 pagi tadi, tiga jalan iaitu Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Pearl dan Jalan Barrack ditutup kepada semua kenderaan untuk membantu mengurangkan kadar pelepasan gas karbon serta kesesakan jalan di samping mahu menggalakkan gaya hidup cergas di kalangan penduduk.
Dayang Marjanah Abang Omar yang pertama kali menyertai program berkenaan pula berkata, penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka sangat penting bagi mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19.
“Ini kerana suasana pada program ini agak meriah apabila orang ramai yang datang mengambil peluang untuk beriadah,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai berharap program seperti ini akan dapat diteruskan dengan lebih ramai masyarakat menyertainya dalam usaha menjalani kehidupan yang lebih sihat.
“Kebiasaanya, ibu bapa sering sibuk dengan kerja dan tidak berkesempatan untuk meluangkan masa bersama anak-anak.
Inilah peluang untuk merapatkan hubungan dengan ahli keluarga,” kata Sophia Chan.-TVS