JOHOR BAHRU, 6 Mac : Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik kedai telefon bimbit menerusi penahanan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu di premis berkenaan di kawasan Larkin, di sini, pada 3 Mac lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata selain penahanan lelaki berusia 31 dan 34 tahun itu, pihaknya turut merampas sebanyak 1,708 gram (g) pil ecstasy, 1,351g serbuk ecstasy, 1,197g ketamin 7,041g pil erimin 5 di dalam premis berkenaan, bernilai RM746,890.
“Modus operandi sindiket yang telah beroperasi sejak Nov tahun lepas ini, dipercayai menjadikan kedai telefon bimbit sebagai stor penyimpanan dadah untuk pasaran tempatan. Kita sedang siasat daripada mana bekalan dadah ini diperolehi,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata hasil semakan rekod lampau mendapati kedua-dua individu itu terbabit dengan kes dadah dan jenayah, bagaimanapun hasil ujian saringan air kencing kedua-duanya adalah negatif daripada sebarang jenis dadah.
Kamarul Zaman pada masa sama berkata pihaknya akan mengesan individu-individu lain, yang dipercayai terlibat dalam sindiket itu.
Beliau berkata kedua-dua individu itu direman selama enam hari bermula 4 Mac mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-TVS