Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penyediaan lokar di sekolah rendah secara berfasa mulai tahun ini akan dilaksanakan sebagai pendekatan menangani isu beg berat murid, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.
Penyediaan lokar di sekolah rendah secara berfasa mulai tahun ini akan dilaksanakan sebagai pendekatan menangani isu beg berat murid, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Penyediaan lokar di sekolah tangani isu beg berat – Radzi

PUTRAJAYA, 6 Mac : Penyediaan lokar di sekolah rendah secara berfasa mulai tahun ini akan dilaksanakan sebagai pendekatan menangani isu beg berat murid, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin. 

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata ia melibatkan dua fasa, dengan fasa pertama murid tahap satu iaitu Tahun Satu, Tahun Dua dan Tahun Tiga yang beroperasi secara dua sesi dan akan membabitkan 10,662 kelas serta 323,186 murid dengan anggaran peruntukan RM37.3 juta.

Katanya bagi fasa kedua pula, penyediaan lokar akan diperluaskan kepada murid tahap dua iaitu Tahun Empat, Tahun Lima dan Tahun Enam yang beroperasi secara dua sesi dengan pelaksanaan dijangka pada 2023.

“Bagi sekolah satu sesi pula, murid akan menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing.

“Selain itu, jadual waktu yang mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran sehari akan dilaksanakan mengikut kaedah dan pelaksanaan yang sesuai terutama aspek pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan,” katanya.

Di samping itu, Radzi berkata Kementerian Pendidikan (KPM) juga akan memberi kelonggaran kepada sekolah untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu sebagaimana yang sedang dilaksanakan oleh sebilangan sekolah di bawah KPM.

Menurutnya bilangan buku latihan pula hendaklah tidak melebihi dua buku bagi setiap mata pelajaran pada satu-satu masa dan setiap buku latihan tidak melebihi 80 muka surat.

“Murid hanya dibenarkan menggunakan buku aktiviti yang disediakan oleh KPM, manakala buku kerja boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP) sahaja. 

“Guru pula digalakkan menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid iaitu pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali atau pembelajaran terbeza,” kata Radzi.

Sementara itu, menurutnya lagi penerbitan buku teks dalam format digital akan dibuat secara berterusan dan sehingga kini sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa), yang boleh diakses oleh semua murid yang mempunyai peranti. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan