KYIV, 6 Mac : Serangan Rusia di beberapa wilayah di Ukraine ketika ini menyaksikan jumlah pelarian terus meningkat.
Bagi yang memilih untuk ‘bertahan’ di tanah air mereka, situasi yang tidak pernah terbayang terpaksa diharungi pada setiap hari.
Memetik laporan Reuters, seorang wanita hamil, Alena Shinkar berkongsi kesukaran hidup yang dihadapinya akibat peperangan yang tercetus itu.
Alena dimasukkan ke hospital dua minggu lepas akibat komplikasi dan tidak lama selepas itu, negaranya mula diserang.
” Saya kini sedang dirawat dan berlindung di wad yang terletak di bawah tanah di sebuah hospital.
“Saya tidak pernah membayangkan perkara seperti ini boleh berlaku pada abad ke-21 khususnya di ibu kota sebuah negara di Eropah,” katanya sambil mengusap perutnya yang sarat.
Sejak serangan itu ujar Alena, tidurnya tidak lagi nyenyak seperti sebelum peperangan.
“Saya terjaga daripada tidur pada awal pagi apabila terdengar bunyi letupan bom serta jeritan wanita hamil yang lain di sini,” katanya.
Wanita itu berkata, keadaan tidak menentu turut melanda wad bersalin di hospital berkenaan.
“Contohnya, wanita bersalin yang menjalani pembedahan Caesarean Sectionn (C-Sect)’ , masih dalam keadaan berdarah, tidak sempat baring apabila penggera mula berbunyi,” ujarnya lagi.
Di sebalik rintangan yang diharungi, kumpulan wanita hamil dijaga rapi oleh kakitangan hospital berkenaan. -TVS