SIBU, 5 Mac : Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menjelaskan operasi menangkap dua ekor buaya bersaiz ‘gergasi’ di Sungai Igan, dekat sini pagi tadi oleh sekumpulan individu mempunyai permit sah.
Menurut kenyataan SFC di Facebook , pihaknya mendapat aduan orang awam berhubung video penangkapan dua ekor buaya sepanjang 17 kaki dan 13 kaki itu yang tular di Facebook.
“Sehubungan itu, sepasukan pegawai penguatkuasa ditugaskan ke tempat kejadian untuk memantau keadaan.
” Mereka memburu reptiia berkenaan kerana mendapat laporan daripada penduduk yang tinggal di Batang Igan,” jelas SFC.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Juanda Jaya turut meninjau operasi penangkapan buaya berkenaan hari ini.
Juanda berkata, operasi dilancarkan atas faktor keselamatan penduduk selepas buaya berkenaan dilihat kerap timbul di sungai itu sejak beberapa minggu lalu.
Menjelaskan lebih lanjut, SFC berkata, Sungai Batang Igan merupakan salah satu daripada habitat buaya sejak dahulu lagi.
” Untuk pengetahuan bersama, buaya hanya akan bertindak agresif sekiranya reptilia berkenaan mengesan bahaya yang boleh mengancam habitatnya, perlindungan kepada telur dan anak-anaknya atau provokasi yang dilakukan oleh manusia,” jelas SFC.
SFC juga menjelaskan agensi berkenaan kini masih menjalankan siasatan lanjut mengenai insiden berkenaan.
Pada masa sama SFC turut menasihatkan orang ramai melaporkan kepada pihak mereka sekiranya berlaku penemuan atau ancaman buaya di kawasan masing – masing. -TVS