KUCHING, 5 Mac : Penularan jangkitan COVID-19 di Sarawak dilihat semakin membimbangkan apabila statistik terkini menunjukkan hanya Daerah Julau dan Beluru yang tidak merekodkan kes.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, 38 daerah lagi mencatatkan peningkatan kes dengan Kuching terus menjadi ‘titik panas’ apabila merekodkan sebanyak 479 kes bagi tempoh 24 jam lepas.
Keseluruhannya, kes baharu meningkat kepada 1,455 sekaligus ‘memecah rekod’ tertinggi sebanyak 1,357 kes yang dicatatkan pada 2 Mac lepas.
Sementara itu, buat hari keempat berturut- turut , Sarawak mencatatkan kematian dengan terbaharu melibatkan seorang wanita warga emas berusia 60 tahun.
Jelas JBPN, mangsa yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan buah pinggang kronik disahkan meninggal dunia di Hospital Kapit pada 3 Mac lalu. -TVS