PUTRAJAYA, 4 Mac: Tourism Malaysia (TM) menghantar lapan pegawainya ke tujuh negara bagi mempromosikan sektor pelancongan negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, lapan pegawai TM itu akan ditempatkan di Pejabat TM di London; Jakarta, Indonesia; Istanbul, Turki; Sydney, Australia; New Delhi, India; Jeddah, Arab Saudi; Taipei, Taiwan dan Auckland, New Zealand.
Katanya, kesemua mereka perlu memainkan peranan mempromosikan Malaysia dengan menggunakan kaedah pemasaran yang sesuai dengan negara -negara berkenaan.
“Mereka perlu menjalinkan hubungan yang baik bersama negara penempatan dan bekerjasama erat dengan pemain industri tempatan.
“Mereka turut diseru untuk mempelbagaikan promosi pakej-pakej pelancongan baharu serta memberi tumpuan kepada emerging market di negara penempatan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan kesemua pegawai berkenaan semalam.
Nancy berkata , Dasar Pelancongan Negara (DPN) dan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) harus dijadikan sebagai panduan dalam setiap perancangan yang boleh mengangkat nama Malaysia di mata dunia.
“Justeru adalah penting untuk kesemua pegawai TM luar negeri untuk turut menggunakan pendekatan digital agar sasaran Malaysia untuk meningkatkan jumlah kemasukan pelancong dapat dicapai dan seterusnya mempercepatkan pemulihan industri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy berkata, Malaysia akan membuka pintu sempadannya apabila tiba masanya. – TVS