SIBU, 2 Mac: Seorang lagi mangsa yang rentung dalam kebakaran melibatkan dua buah rumah di Kampung Bahagia Jaya, Teku, dekat sini malam tadi disahkan sebagai Abdullah Bus.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Empat Sibu, Penguasa Kanan Bomba 1, Janggan Muling berkata, warga emas berusia 64 tahun itu ditemui terperangkap dalam sebuah bilik bersama dua mangsa lagi di rumah kedua yang terbakar.
Katanya, dua lagi mangsa yang telah dikenal pasti dalam kebakaran yang berlaku kira – kira pukul 8 malam semalam ialah Rasidah Suut, 80 dan Suriaty Abdullah, 20.
Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Sungai Merah menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.14 malam.
“Setibanya pasukan BBP Sungai Merah di lokasi pada jam 8.21 malam, pegawai operasi mendapati kebakaran melibatkan dua buah rumah yang berada di dalam kawasan pagar yang sama itu telah terbakar 100 peratus,” katanya menerusi satu kenyataan media semalam.
Janggan memberitahu, api berjaya dikawal dalam tempoh 20 minit sebelum anggotanya memulakan kerja- kerja mencari mangsa yang terperangkap.
“Tiga mayat ditemukan berada berdekatan antara satu sama lain dalam sebuah bilik,” katanya.
Menurut Janggan, operasi tamat pada pukul 10.14 malam dan pihaknya difahamkan terdapat lapan orang penghuni yang tinggal di rumah kedua termasuk tiga mangsa yang terkorban.
Katanya, hanya seorang wanita berusia 27 tahun berada di rumah pertama manakala lima mangsa yang merupakan sebuah keluarga yang berada di rumah kedua berjaya menyelamatkan diri.
Operasi itu turut disertai seramai 19 anggota dari BBP di Sibu.
Punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik JBPM Zon 4 Sibu. – TVS