KUCHING, 1 Mac: Ujian bertulis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan dilaksanakan bermula esok 2 Mac melibatkan seramai 407,097 calon.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM), seramai 50,514 petugas peperiksaan dilantik bagi melancarkan pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut yang mana melibatkan 3,382 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Dalam pada itu, semua calon diingatkan merujuk jadual waktu ujian bertulis peperiksaan SPM 2021 untuk maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa berlangsung.
Calon turut diingatkan untuk membawa dokumen pengenalan diri dan pernyataan pendaftaran peperiksaan ke pusat peperiksaan, manakala jadual waktu peperiksaan juga boleh dimuat turun dari portal rasmi lembaga peperiksaan.
Walaubagaimanapun, calon juga perlu mematuhi garis panduan pengurusan pentaksiran pusat dan peperiksaan awam serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi mencegah penularan wabak COVID-19. – TVS