LUBOK ANTU, 28 Feb: Warga polis di daerah Lubok Antu disaran mempertingkatkan sistem nilai dan integriti dalam pasukan melalui sistem penyeliaan demi mencapai kecemerlangan ketika menjalankan tugas dan amanah yang diberi pucuk pimpinan mereka.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Deputi Superintendan Victor Ripon berkata, perkara itu penting kerana semangat juang yang tinggi dalam melaksanakan tugas dan amanah dengan penuh berintegriti di kalangan pasukan polis akan menjaga nama baik pasukan secara keseluruhannya.
“Prinsip akauntabiliti mestilah dihayati dan dijanakan sepenuhnya supaya disiplin dan standard professional standard sentiasa dijadikan sebagai amalan semasa melaksanakan tuga polis.” ujarnya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan IPD Lubok Antu di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan semua anggota polis di IPD Lubok Antu harus sama-sama berusaha untuk menunjukkan keyakinan dan kepercayaan di kalangan masyarakat setempat terhadap pasukan.
Tegas beliau, sikap ‘beraja di mata bersultan di hati’ tidak harus bertapak di kalangan anggota polis kerana ia pasti akan menghancurkan institusi polis.
Mengimbas kembali mengenai satu kes yang melibatkan anggota polis sendiri dalam kes penyeludupan warga asing, insiden itu disifatkan telah mencemarkan nama baik dan melumpuhkan sistem nilai dan integriti dalam pasukan.
“Maka, adalah penting untuk kita pastikan agar kebimbangan orang awam terhadap kewibawaan kita, tidak menghakis kepercayaan mereka terhadap PDRM, yang ibarat harapkan pagar, pagar makan padi,” katanya lagi.
Sehubungan itu, warga anggota IPD Lubok Antu diminta mengekalkan ketenteraman awam dan mengawal jenayah secara menyeluruh dan agresif sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi bagi mendukung hasrat kerajaan baharu.
“Kita hendaklah melahirkan sebuah pentadbiran negara yang bebas rasuah dengan memperkemaskan tadbir urus, memperkasakan integriti serta menerapkan budaya zero tolerance terhadap rasuah,” tegas beliau.
Sementara itu, IPD Lubok Antu telah mencatatkan sebanyak 16 kes jenayah indeks pada tahun 2021 berbanding 27 kes pada 2020 iaitu penurunan sebanyak 11 kes bersamaan dengan -40.74 peratus.
Beliau menasihati dan memberi amaran kepada semua warga IPD Lubok Antu untuk tidak berjinak-jinak dan bergiat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Pada perhimpunan hari ini, kita telah memperbaharui sumpah keramat akta rahsia-rahsia dan melafaz ikrar dadah yang merupakan satu kewajipan bagi setiap pegawai kanan polis, pegawai rendah polis dan pegawai awam pada setiap tahun.”
“Isu dadah di kalangan warga PDRM bukanlah isu baharu namun ianya tetap menjadi masalah dalam pasukan. Banyak kali telah diperkatakan oleh pucuk pimpinan tentang isu ini namun masih ada lagi yang masih degil dan seolah-olah cuba mencabar peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan dan pasukan tidak akan berkompromi kepada sesiapa yang didapati terlibat dengan penyalahgunaan dadah,” tambah beliau. – TVS