KUCHING, 28 Feb: Sarawak melakar sejarah apabila berjaya memecah rekod ‘Malaysia Book of Record’ menerusi Konsert Sape ‘Rentak Kamek Urang’ bersempena sambutan Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsung pada 24 hingga 27 Februari.
Konsert tersebut berjaya menggabungkan seramai 257 orang pemuzik sape dari seluruh negara yang menyaksikan 70 pemain sape berada di atas pentas terapung manakala selebihnya di atas Jambatan Darul Hana.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mesran Mohd Yusop memaklumkan, perancangan bagi menjayakan program tersebut agak memakan masa keranapihaknya perlu meneliti setiap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Program ini sepatutnya diadakan pada tahun yang lepas namun terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu. Ini juga merupakan kali pertama Citrawarna disambut di luar Kuala Lumpur iaitu di Tebingan Sungai Kuching, Sarawak,” ujarnya ketika ditemui TVS selepas Konsert Sape yang berlangsung sempena sambutan Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 pada Ahad.
Ketika ditanya berkenaan perancangan Citrawarna untuk tahun hadapan, beliau berkata perkara tersebut akan diputuskan oleh pihak pengurusan tertinggi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
“Buat masa ini kita belum mempunyai keputusan lagi, kerana sebelum ini Citrawarna sememangnya diadakan di Kuala Lumpur.
“Cuma yang boleh saya maklumkan ialah Festival Gendang Sarawak akan tetap diadakan pada tahun ini mengikut perancangan iaitu pada bulan November,” katanya lagi.
Lebih menarik, dua wakil TVS turut sama-sama menyertai 255 pemain sape yang lain sekaligus berjaya memahat nama dalam Malaysia Book of Record.
Wartawan Penyiaran dan Penyampai Berita TVS, Connie Grace Ujan dan Juruaudio TVS, Justine Jarop Joseph secara tidak langsung terlibat dalam persembahan terbesar pernah dianjurkan di negara ini, menyatakan rasa syukur dan bangga apabila dipilih sebagai salah seorang daripada peserta.
Bagi Connie yang berbangsa Iban dan Kayan, dia mempelajari alat muzik ini untuk menimba ilmu dan mengenali dengan lebih dekat lagi alat muzik tradisional mereka.
“Saya percaya secara langsung Konsert Sape ini akan membuatkan kawan-kawan serta orang ramai akan lebih mengenali etnik Orang Ulu dan Iban,” katanya.
Justine juga mempunyai pendapat yang sama seperti Connie yang mana katanya konsert ini akan dapat memperkenalkan muzik sape ke mata dunia.
“Rekod baharu berjaya dicipta pada tahun ini setelah ia berjaya mengatasi rekod lama yang mana sebelum ini hanya 207 orang pemain sape berjaya dikumpulkan.
“Selain itu, pada pendapat saya acara seperti ini bagus kerana ia dapat mempromosikan sape kepada seluruh dunia,” ujarnya.
Konsert sape yang diadakan pada Ahad malam telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Saraya Arbi. – TVS