KUCHING, 27 Feb : Syarikat telekomunikasi yang bertapak di Sarawak disaran untuk melabur di kawasan luar bandar berpandukan potensi ekonomi masa hadapan yang dimiliki.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi berkata, pelaburan tersebut boleh mendatangkan faedah jangka panjang kepada syarikat-syarikat yang terlibat kerana Sarawak sedang melalui fasa permodenan yang pantas.
Katanya, pelaburan ini juga akan mendatangkan faedah kepada negeri dan juga rakyatnya.
“Kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan yang besar untuk menyediakan perkhidmatan ini supaya liputan internet di Sarawak boleh mencecah 100 peratus pada 2025.
“Ini telah menimbulkan isu yang besar di mana menara telekomunikasi telah disediakan tetapi tidak mempunyai penyedia perkhidmatan telco.
Atas sebab ini saya telah menyeru kepada semua penyedia perkhidmatan telco di Sarawak seperti Celcom, DiGi, Maxis dan U-Mobile untuk melabur di kawasan luar bandar, kerana kita sudah bina menara yang mereka perlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Al-Quran Sarawak Sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Ke-61 Peringkat Negeri Sarawak.
Yang turut hadir, Menteri Muda Utiliti dan Telekomunikasi Kedua, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi dan Presiden Majlis Islam Sarawak (MIS), Datu Misnu Taha.
Sebelum ini, kementerian telah mengadakan sesi dialog bersama penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk mengatasi masalah liputan internet di Sarawak.
Ujar Julaihi, agensi kerajaan seperti Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC) juga turut serta dalam sesi dialog tersebut.
“Kita gabungkan kedua-dua dialog ini untuk mencari jalan yang terbaik bagi mengatasi masalah liputan internet.
“Pada masa sama, kita juga ingin memahami apakah cabaran yang dilalui oleh setiap agensi dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang berkaitan,” tambahnya. -TVS