BINTULU, 27 Feb: Dua buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Baru, dekat sini petang tadi yang menyebabkan 42 penghuni hilang tempat berteduh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Timbalan Penguasa Bomba 1, Christus Buson berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.12 petang tadi.
Katanya, tiga jentera bersama 16 orang anggota telah dikerahkan untuk memadam kebakaran.
“Setibanya di lokasi, Bomba mendapati dua buah rumah kayu sedang terbakar.
Terdapat seramai 42 orang penghuni yang tinggal di situ dan kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Christus berkata, anggotanya berjaya mengawal kebakaran merebak ke rumah berhampiran namun kedua – dua rumah berkenaan musnah sepenuhnya.
Katanya, seramai 21 orang tinggal di rumah pertama termasuk 18 orang dewasa dan tiga orang kanak-kanak lelaki manakala rumah kedua pula didiami oleh 21 orang membabitkan 12 orang dewasa dan sembilan kanak-kanak.
Operasi tamat pada pukul 2.27 petang dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – TVS