KUCHING, 26 Feb : Seorang kanak – kanak perempuan berusia 10 tahun disahkan meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 di Sarawak hari ini.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, jenazah kanak – kanak itu yang tidak mempunyai sejarah latar belakang penyakit dibawa ke Hospital Sibu.
Sementara itu, Sarawak hari ini mencatatkan peningkatan kes baharu COVID-19 apabila sebanyak 483 kes baharu direkodkan bagi tempoh 24 jam lalu.
Menurut JPBN , daripada jumlah itu, sebanyak 477 kes berada dalam kategori satu dan dua manakala enam kes dalam kategori tiga, empat dan lima.
“Enam kes dalam kategori tiga, empat dan lima mempunyai penyakit kronik paru-paru yang memerlukan bantuan oksigen dan ventilator,” jelas JPBN.
Berdasarkan pecahan kes baharu mengikut daerah, Kuching masih mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 173 kes, diikuti dengan Miri 91 kes, Sibu 80 kes, Bintulu 27 kes, Kapit 20 kes dan Matu 16 kes. -TVS