Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Program Citrawarna Keluarga Malaysia
Program Citrawarna Keluarga Malaysia. Foto: Faitullah Morni (TVS)

Abang Johari mahu jurang pembangunan Sarawak dengan Semenanjung dirapatkan

KUCHING, 26 Feb : Sarawak menaruh harapan besar agar kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak akan terus dipertingkatkan supaya tiada mana-mana wilayah di negara ini yang ketinggalan.

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha berterusan perlu dilakukan agar wujud kestabilan berkekalan di seluruh negara dan seterusnya dapat membangunkan Malaysia menjadi negara maju.

Ujar Ketua Menteri, beliau percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sangat memahami ‘keperluan’ Sarawak yang bukan tempat asing kepada beliau.

” Sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau pernah berkunjung ke Sarawak selaku Menteri Pembangunan Wilayah. Saya percaya beliau telah melihat sendiri betapa tempat seperti Kapit amat dahagakan pembangunan, khususnya kemudahan infrastruktur.

Sebagai sebuah Keluarga Kecil dalam Keluarga Malaysia yang besar, saya percaya Perdana Menteri akan terus membantu Sarawak dalam pelbagai aspek supaya kita tidak lagi ketinggalan dalam aspek pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Sungai Sarawak di sini malam ini.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud , Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Ismail Sabri dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri serta barisan pentadbiran Kerajaan Sarawak.

Meneruskan ucapan, asas kepada permintaan itu kata Abang Johari ialah supaya warga Sarawak terus bangga menjadi sebuah Keluarga Malaysia yang besar dan akan mencapai lebih banyak kejayaan bersama.

Di pihak kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari berkata, mereka tidak hanya berpeluk tubuh dan menyerahkan segala usaha untuk membangunkan wilayah ini kepada Kerajaan Persekutuan.

” Kerajaan GPS yang telah diberi mandat yang begitu besar oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 yang lepas akan terus berusaha untuk memajukan Sarawak dari pelbagai aspek khususnya ekonomi yang dipacu oleh data dan innovasi, kemudahan infrastruktur, kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, membangunakan pertanian moden yang berasaskan teknologi pintar, mengurangkan jurang antara bandar dan luar bandar dan membangunkan sumber manusia,” katanya.

Abang Johari seterusnya turut mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memilih Kuching untuk menganjur dan menjadi hos kepada program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022, antara bandaraya yang terawal dipilih untuk menjadi hos bagi acara gilang gemilang ini. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan