KUCHING, 26 Feb : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan seramai 239 orang calon mewakili pelbagai parti diterima untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 Johor selepas proses tempoh penamaan ditutup pukul 10 pagi tadi.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, daripada jumlah itu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menampilkan calon paling ramai iaitu 56 orang bagi bertanding di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditawarkan.
Katanya, Pakatan Harapan (PH) pula meletakkan 30 calon manakala Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) membariskan 42 calon.
” Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula berjaya mencalonkan 20 orang wakilnya serta 16 orang calon bebas turut bertanding,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Abdul Ghani berkata, parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menampilkan tujuh calon manakala Parti Warisan Sabah (Warisan) juga bertanding buat kali pertama di Johor dengan enam calon.
Sementara itu, beliau memberitahu, PRN Ke-15 Johor juga menyaksikan pertandingan tujuh penjuru di dua DUN, enam penjuru di empat DUN, lima penjuru (lapan DUN) dan empat penjuru di 35 DUN.
” Seramai 202 orang merupakan calon lelaki dan 37 orang wanita. Calon paling muda berusia 26 tahun yang ditampilkan oleh BN di DUN Mengkibol dan calon Perjuang di DUN Tangkak,” katanya.
PN pula menampilkan calon tertua berusia 71 tahun di DUN Bukit Permai. -TVS