Kredit gambar Facebook Johor Southern Tiger
KUALA LUMPUR, 25 Feb: Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal kehilangan pemiliknya Tunku Ismail Sultan Ibrahim jika skuad Harimau Selatan itu gagal merangkul kejuaraan pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Kuala Lumpur (KL) City FC, esok.
Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut menzahirkan hasrat untuk ‘menarik diri’ daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak di dalam negara, jika KL City FC dinobatkan juara dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri itu.
“Jikalau kalah esok saya tinggalkan bola sepak sepenuhnya dan tidak akan terlibat lagi dengan apa-apa aktiviti bola sepak dalam negara,” katanya dalam ruangan komen hantaran Instagram rasmi JDT, hari ini.
Ia bukanlah kali pertama Tunku Ismail yang juga bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi bayangan akan meninggalkan JDT serta dunia bola sepak.
Pada April 2018, menerusi hantaran Facebook rasmi Johor Southern Tigers, Tunku Ismail dipetik sebagai berkata beliau bersedia melepaskan segala-galanya berkaitan bola sepak, jika prestasi JDT tidak menunjukkan peningkatan.
Pertembungan JDT dan KL City FC pada perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah itu adalah pembuka tirai saingan Liga Malaysia 2022 yang dijadual bermula 4 Mac ini.
Sebagai rekod, KL City FC menewaskan JDT 2-0 pada final Piala Malaysia 2021, Disember lepas, sekali gus menamatkan penantian 32 tahun menjuarai saingan berprestij itu, selain melayakkan mereka ke Piala AFC musim ini. -TVS