KUCHING, 25 Feb: Kes positif baharu COVID-19 di Malaysia berterusan ‘pecah rekod’ apabila sejumlah 32,070 jangkitan baharu dilaporkan di negara ini.
Ini menjadikan jumlah kumulatif mencecah 3,337,227 kes sejak Malaysia dilanda pandemik.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 31,890 kes atau 99.44 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua manakala 180 lagi atau 0.56 peratus adalah dalam kategori tiga, empat dan lima.
KKM turut mendedahkan, sebanyak 49 kes jangkitan baharu tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi hantaran di Twitter menjelaskan, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Serdang, Selangor dibuka semula sebagai langkah awal sekiranya keadaan memerlukan.
” Ini kerana ketika ini pesakit COVID-19 kategori satu dan dua yang berisiko tinggi turut diterima masuk ke hospital sebagai langkah berjaga – jaga,” katanya. -TVS